Projek Makmal Sosial PBI di Kg. Takang, Bachok

18 September 2020 - PBI dengan kerjasama erat Persatuan Penduduk Takang Madani (PERTAMA) telah berjaya menganjurkan Program Gotong-Royong, Penubuhan Skuad Kebersihan dan Pengaplikasian Indikator Penilaian Projek Makmal Sosial PBI. Inisiatif ini adalah sebahagian daripada program University4Society yang menjadi salah satu fokus sumbangan universiti kepada masyarakat.

Objektif program ini adalah bagi mengukuhkan semangat bekerjasama melalui kaedah gotong royong kebersihan, memantapkan lagi nilai kebersihan dalam kalangan penduduk melalui penubuhan skuad sukarela kebersihan dan melihat kesesuaian indikator penilaian yang telah dibangunkan khususnya dalam aspek kebersihan dan keceriaan desa.

Kumpulan sasaran program ini adalah anggota  komuniti Kg Takang khususnya yang berdaftar dengan Persatuan Penduduk Takang Madani (PERTAMA). Manakala skuad sukarela kebersihan pula ditumpukan kepada para remaja. Bagi menyempurnakan proses pengaplikasian indikator penilaian dalam sektor kebersihan dan keceriaan, dua orang pensyarah PBI telah dijemput sebagai pengadil untuk menilai tahap kebersihan dan keceriaan rumah penduduk yang berdaftar dengan persatuan PERTAMA. Pensyarah yang bertindak sebagai pengadil tersebut ialah Puan Zuriati Mohd Rashid dan Pn Tg Iffah Tuan Yazid.

Program gotong royong bermula jam 8.30 pagi. Pada peringkat awal, semua penduduk memberi tumpuan kepada pembersihan kawasan di sekitar pondok kitar semula dan juga menyiapkan stor masjid al-Barakah Kg Takang. Pada hari ini juga komuniti Takang memulakan kempen untuk mengitar semula minyak masak terpakai di samping kertas, plastik dan besi.

Pada pukul 9:30 pagi, penduduk berkumpul semula untuk diberikan taklimat tentang pelaksanaan program penandaan indikator penilaian projek makmal sosial PBI dalam aspek kebersihan dan keceriaan. Pengadil memaklumkan bahawa 4 aspek akan dinilai dengan menggunakan borang khas iaitu 1) kebersihan di dalam rumah dan juga halaman, 2) pengurusan sampah pepejal, 3) keceriaan dan 4) kreativiti. Serentak dengan taklimat, pasukan skuad sukarelawan kebersihan Kg Takang dilancarkan. Selepas itu penduduk menikmati sedikit persegaran.

Pada pukul 10.15 pagi, penduduk  menyambung  semula gotong royong meratakan tanah di Taman Madani.  Semua penduduk kampung bertumpu di kawasan ini. Di samping meratakan tanah, penduduk juga membersihkan kawasan di sekitarnya sehingga jam 12.45.  Penduduk kembali semula ke masjid al-Barakah untuk menikmati makan tengahari yang disediakan.

Program penandaan dan  penilaian borang kebersihan dan keceriaan tamat agak lewat iaitu sekitar jam 1.30 tengahari.  Para pengadil  kemudian menikmati hidangan tengahari yang disediakan. Proses untuk memilih tiga rumah yang terbaik memakan masa dan pengumuman tidak dapat dibuat pada hari yang sama. Pihak penganjur memutuskan untuk mengumumkan pemenang  pada tarikh lain. Penduduk bersurai  selepas  solat zohor.

Objektif kebersihan tercapai dengan berlakunya  perubahan  yang ketara pada kawasan sekitar pondok kitar semula, Taman Madani, dan rumah penduduk  yang berdaftar dengan persatuan PERTAMA. Program ini juga memberi impak dari sudut mengukuhkan lagi perhubungan dan ukhuwwah sesama mereka. Orang dewasa, belia dan remaja bekerjasama membersihkan kawasan kampung di samping kediaman masing-masing. Program ini juga telah mengesahkan bahawa indikator penilaian Makmal Sosial dalam aspek kebersihan dan keceriaan boleh diaplikasikan dan mencapai objektif yang ditetapkan.